KUALA TERENGGANU: Seorang wanita terkejut apabila menemukan kepala lembu, dipercayai haiwan korban di dalam tong sampah di Kampung Pulau Rusa, di sini, semalam.
Sariah Suhailah Chik, 39, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana tidak beradab memandangkan kepala lembu juga adalah sebahagian daripada anggota haiwan korban.
Menurutnya, dia sampai di kawasan tong sampah itu kira-kira pukul 11.52 pagi dan ternampak objek yang agak besar dari jauh.
“Bila saya mendekatinya baru nampak kepala lembu tersebut yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab.
“Rasa geram kerana ia boleh menyebabkan bau busuk dan terkilan kerana kepala lembu juga boleh diagihkan secara percuma kepada mana-mana individu yang mahukannya untuk dimakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Gambar kepala lembu itu juga tular di media sosial setelah Sariah memuat naik luahan hatinya itu di Facebook ‘Kuala Terengganu Residen’ semalam.
Mengulas lanjut, Sariah berkata, kepala lembu itu sepatutnya ditanam jika tiada orang yang inginkan bahagian tersebut.
“Setidak-tidaknya, apabila ditanam ia lebih baik kerana tidak menimbulkan bau busuk jika dibiarkan sebelum dilupuskan dan tidak mencacatkan pemandangan sekitar kampung,” katanya. – UTUSAN










