PETALING JAYA: Cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani supaya UMNO mengenal pasti bakal calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dapat menangani unsur sabotaj.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, antara lain ia membolehkan calon tersebut turun padang lebih awal bagi memperkenal diri di kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi.
“(Berdasarkan) pengalaman lepas, calon hanya akan dinamakan setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen dibubarkan. Ini akan menimbulkan masalah seperti sabotaj dalam kalangan mereka yang tidak terpilih yang berkesudahan dengan kekalahan.
“Sekiranya calon itu dikenal pasti lebih awal maka unsur sabotaj itu dapat diatasi atau dikurangkan kerana mereka mempunyai masa yang lama untuk memujuk mereka yang tidak dipilih bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, Veteran UMNO juga bersetuju dengan saranan Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi supaya lebih ramai anak muda diberi peluang untuk bertanding mewakili parti pada PRU16.
Katanya, dalam hal itu pihaknya berharap ‘orang lama’ mestilah memberi laluan mudah kepada anak muda untuk bertanding di kawasan masing-masing.
“Orang lama juga sewajarnya mengenal pasti bakal-bakal calon itu dari kalangan tokoh muda di bahagian masing-masing secara profesional tanpa terikat dengan kroni dan keluarga.
“UMNO mesti keluar daripada cara lama kalau mahu parti ini terus relevan. UMNO mesti menyesuaikan dengan kehendak orang muda yang menjadi pengundi majoriti sekarang,” katanya.
Beliau berkata, UMNO mestilah mengikut citarasa mereka yang mahukan perubahan dan berani berubah walaupun sukar diterima oleh segelintir yang merasakan dirinya adalah ‘panglima perang’ bagi menentukan segala-galanya dalam parti.
“UMNO mesti menyediakan golongan pemimpin pelapis seawal mungkin melalui cara mengenal pasti bakal-bakal calon yang akan bertanding ini. Hanya dengan cara ini UMNO tidak akan hilang tokoh sehingga menggagau di saat akhir,” katanya. – UTUSAN










