Kembalikan VOP, semak jadual kadar kerja - PKMM

Kembalikan VOP, semak jadual kadar kerja – PKMM

MOHD. Rosdi Ab. Aziz (Empat dari kiri) dan Borhan Aman Shah (Tiga dari kiri) bersama ahli PKMM di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan disaran mengembalikan semula pelarasan atau variasi harga (VOP) bagi menangani kenaikan harga bahan binaan sehingga 30 peratus susulan pelarasan subsidi diesel ketika ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi mengelak kontraktor gagal menyiapkan projek-projek dalam tempoh ditetapkan.

Jelas beliau, hampir keseluruhan 70,000 ahli persatuan itu terkesan dengan kenaikan ketara kos binaan termasuk pasir, simen, konkrit dan pengangkutan.

“Kami bimbang kontraktor tidak dapat menyerap kenaikan mendadak itu sehingga berpotensi kerugian besar dan gulung tikar,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PKMM Selangor kali-38 di sini, semalam.

Majlis yang dihadiri lebih 100 ahli itu dirasmikan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah.

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) menjangkakan harga bahan binaan meningkat 10 hingga 15 peratus susulan pelarasan subsidi diesel.

Presidennya, Sr. Idzwan Izuddin Shah Ishak memaklumkan pihaknya menerima maklum balas beberapa pemaju yang akan mengkaji semula jualan hartanah iaitu kediaman masih dalam pembinaan.

Menurut Mohd. Rosdi, kerajaan turut dicadang menyemak semula jadual kadar kerja atau harga kontrak yang ditawarkan kerajaan bagi pelaksanaan projek baharu.

“Kadar itu boleh dinaikkan berdasarkan kenaikan harga bina binaan yang sebenar walaupun angka yang adil adalah kenaikan sekitar 30 peratus.

“Kerajaan perlu membuat keputusan berasaskan kepada faktor pasaran di lapangan yang dihadapi kontraktor,” ujarnya.

Jadual kadar kerja merupakan senarai panduan pengiraan kos bagi kadar harga bahan berasaskan kuantiti atau pelan dan spesifikasi.

Tambah beliau, langkah penguatkuasaan oleh pihak bertanggungjawab terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu dilakukan secara berterusan bagi mengelak isu ketirisan diesel bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×