PETALING JAYA: Pihak pembelaan menegaskan kehidupan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin berubah 180 darjah ekoran kejadian kehilangan kanak-kanak autisme itu yang membawa kepada siasatan polis.
Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan isterinya Ismanira Abdul Manaf mengalami kemurungan teruk ketika polis memulakan siasatan bagi mencari pelaku yang terlibat dalam kes kematian anak mereka.
Kedua-dua peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu sepakat menyatakan demikian ketika berhujah bagi memohon pengurangan wang jaminan.
Ibu bapa kanak-kanak autisme itu yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mengabaikan anak mereka, tahun lalu.
Fahmi Abd. Moin yang mewakili Zaim Ikhwan berhujah, kedua-duanya terlebih dahulu memulakan pencarian menjejaki Zayn Rayyan sebelum ditemukan tidak bernyawa pada 6 Disember 2023.
“Kejadian itu mengubah 180 darjah kehidupan kedua-duanya sehinggalah mereka juga ditahan reman bagi membantu siasatan. Jika jaminan tidak dibayar, mereka akan kekal ditahan di penjara,” ujar Fahmi.
Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili Ismanira turut mengesahkan anak guamnya juga mengalami kemurungan teruk sehingga tidak membolehkannya bekerja.
Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron meminta kepastian sama ada pengakuan peguam bahawa pasangan itu mengalami kemurungan boleh memberi kesan kepada pengakuan yang diberikannya kepada mahkamah.
“Ekoran perkara yang ditimbulkan oleh peguam, adakah tertuduh-tertuduh ini mampu untuk membuat pengakuan di hadapan mahkamah?” soal beliau yang mengetuai pasukan pendakwaan.
Namun begitu, Fahmi menegaskan, tujuan beliau membangkitkan isu berkenaan bagi menunjukkan anak guamnya bersusah payah mendapatkan kos rawatan untuk anak kedua mereka yang mengalami masalah pertuturan dan autisme yang teruk.
Perkembangan itu menyebabkan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bertanyakan kembali kepada Ismanira sama ada tertuduh memahami pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Hakim: Ismanira, tadi pertuduhan dibacakan pada kamu. Kamu faham?
Ismanira: Faham
Hakim: Kamu kata tidak bersalah, boleh sahkan?
Isma: Ya, tidak bersalah. – UTUSAN










