PETALING JAYA: Empat perompak bersenjatakan dua pistol dan selaras senapang melarikan barang kemas dari sebuah kedai di pusat beli belah di Kajang dekat sini, siang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 3.17 petang, apabila Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima laporan kejadian pada kira-kira 3.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, siasatan mendapati rompakan didalangi empat lelaki yang dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap.
Menurut beliau, ketika kejadian, seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan ke arah dinding kedai emas.
“Mereka kemudian memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.
“Kesemua suspek kemudian melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Nasir berkata, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan selain merakam percakapan beberapa orang saksi kejadian.
“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut, kita minta mereka tampil kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau menyeru saksi boleh menghubungi mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan mahupun kematian.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video didakwa kejadian rompakan berkenaan.
Rakaman video dipercayai dirakam oleh pengunjung yang kebetulan berada pusat beli belah berkenaan ketika kejadian.
Dalam video tular terbabit, kelihatan tiga lelaki bertopi dan bertopeng berada di dalam kedai emas terbabit.
Turut dilihat suspek memecahkan cermin rak pameran barang kemas dengan alat kelihatan seperti tukul.
Seorang lagi suspek dilihat mengaut keluar barang-barang kemas dari dalam rak dan memasukkannya ke dalam beg yang dibawa.- UTUSAN










