SHAH ALAM: Karakter dan persamaan Nasrullah Mohd. sapie menjadi antara sebab bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya bersetuju untuk bersuamikan jejaka pilihan hatinya itu.
Kata Syasya, dia dan suami selain ada persamaan, turut menerima perbezaan masing-masing.
“Dalam berkongsi persamaan, kami juga ada perbezaan antara satu dengan lain. Itu menariknya dia di mata saya.
“Saya juga degil orangnya. Tapi Alhamdulillah, dia berjaya (tundukkan) saya,” katanya yang ditemui sempena resepsi perkahwinannya semalam.
Kedua mempelai yang sama padan dalam persalinan berwarna biru, diraikan dalam sebuah majlis di sebuah dewan dekat sini malam tadi.
Pasangan tersebut juga mewah memperagakan set barang kemas bernilai RM5 juta.
Terdahulu, Syasya dan Nasrullah pada 21 April lalu disatukan dalam sebuah majlis yang dihadiri keluarga dan rakan rapat.
Pernikahan tersebut menjawab spekulasi pengundurannya daripada kumpulan Dolla yang diumumkan 8 April lepas.
Kata Syasya, dia tidak menyesal meninggalkan Dolla ketika kumpulan itu berada pada kemuncak populariti mereka.
“Kalau rezeki sebagai penyanyi sampai situ, maka situ sahaja.
“Tapi, kita tak tahu bentuk rezeki kita di masa akan datang. Tunggu dan doakan yang baik,” kongsinya.










