Juruteknik mengaku tak bersalah jual pistol, edar dadah

Juruteknik mengaku tak bersalah jual pistol, edar dadah

A. PRAKASH (kiri) cuba menutup wajahnya daripada dirakam lensa kamera ketika tiba di Mahkamah Sesyen dan Majistret di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berdagang senjata api, bulan lepas.

Tertuduh, A. Prakash, 38, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berdagang senjata api iaitu satu kotak pistol berwarna hitam bertulis Walter yang di dalamnya terdapat dua pucuk pistol jenis Smith & Wesson beserta satu kelopak serta satu pucuk pistol berjenama Walter juga dengan satu kelopak.

Selain pistol tersebut, tertuduh juga didakwa berdagang sepucuk pistol semi auto jenama Glock, pistol jenama Mauser-Werke dan pistol jenama Star Eibar; masing-masing dengan satu kelopak selain sepucuk pistol jenis revolver jenama Smith & Wesson.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kediaman di Century Park Persiaran Batu Uban, Gelugor kira-kira pukul 3.10 petang, pada 25 Mei yang lalu.

Atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun selain dikenakan sebatan iaitu tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam, Y. Yogeswaran.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan Mohammad Khalid turut menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Masjitret, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu mengedar dadah pada masa dan lokasi yang sama seperti pertuduhan awal.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 46,191 gram serta mengedar heroin seberat 33,764 gram bagi kesalahan kedua.

Kedua-dua kesalahan didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh pula diwakili peguam yang sama iaitu Yogeswaran.

Tiada sebarang jaminan juga ditawarkan untuk kes ini dan Majistret Mohamad Azlan Basri turut menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dikeluarkan.

Media sebelum ini melaporkan, gaya hidup mewah seorang lelaki tempatan terbongkar apabila dia sebenarnya adalah ketua kepada satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini. Selain dadah, polis turut merampas beberapa pucuk pistol dan peluru semasa lelaki itu ditahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN