PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu yang berperanan di dalam jawatankuasa pengurusan kerana disyaki menyalah guna kuasa dan penyelewengan dana kutipan penyelenggaraan bangunan apartment di sebuah daerah di Selangor.
Menurut sumber, suspek utama yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan disyaki menyalah guna kuasa dan penyelewengan sejak tahun 2016.
Dia dibantu oleh tiga lagi suspek yang menyandang jawatan Setiausaha, Bendahari dan Peguam dalam jawatankuasa tersebut.
“Jawatankuasa Pengurusan ini ditubuhkan bagi menggantikan Badan Pengurusan Bersama (JMB) selepas hak milik strata dikeluarkan Pejabat Tanah,” katanya hari ini.
Kesemua suspek yang berusia sekitar 40-an hingga 60-an ditahan antara pukul 9 hingga 10 malam, semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Susulan penahanan itu, keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 8 Jun terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN











