Jaclyn Victor menghapus ragu, konsert rai dua dekad - Utusan Malaysia

Jaclyn Victor menghapus ragu, konsert rai dua dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMINAT antara yang paling gembira sebaik sahaja penyanyi berbakat besar, Jaclyn Victor mengumumkan tentang konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur 12 Oktober ini.

Ibaratnya, selepas dua dekad bergelar anak seni, penyanyi berusia 45 tahun akhirnya melunaskan impian dan hasrat peminat yang mungkin menanti terlalu lama untuk melihat penyanyi kesayangan mereka beraksi dalam sebuah konsert solo.

Sempat soalan cepu emas ditanyakan kepada Jaclyn, kenapa dia ambil masa terlalu lama untuk mengadakan konsert solo?

“Saya selalu bertanya pada diri sendiri, kalau saya buat konsert, ada atau tidak orang datang?

“Mungkin orang kenal Jaclyn Victor. Tapi saya tidaklah popular mana. Jadi saya risau, orang mahu atau tidak tengok konsert saya?

“Tambahan lagi saya tidaklah kedepan dalam menggunakan media sosial. Artis baru pengikut berjuta. Saya pula, bertungkus lumus, kerja keras tapi pengikut media sosial sedikit.

“Tapi, saya sudah fikirkan. Inilah masanya. Selepas 20 tahun, saya hadiahkan konsert solo yang pertama,” katanya ketika sidang media Jaclyn Victor First Solo Concert.

Dalam lambakan penganjuran konsert yang semakin meriah kini, Jaclyn perlu mencari cara untuk menarik penonton hadir ke konsertnya nanti.

Selain bekerjasama dengan Genervie Kam selaku pengarah muzik konsert ini, Jaclyn berdepan cabaran untuk mencetuskan magis pada persembahannya.

Katanya, semua berbalik kepada kekuatannya, iaitu persembahan vokal yang menjadi antara sebab utama kenapa penonton perlu datang menyaksikan konsert itu kelak.

“Saya tak pandai menari. Jadi fokus utama adalah bagi kekuatan saya, iaitu persembahan vokal.

“Saya sempat menonton konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pada saya, menakjubkan. Dan juga Aina Abdul yang bagi saya seorang penyanyi yang berani walaupun belum berkesempatan menonton konsertnya.

“Dari pemerhatian saya belajar. Dan di situ saya tahu apa kelainan yang akan saya tampilkan dalam konsert ini nanti,” kongsinya.

Tiket konsert solo pertama Jaclyn sudah mula dijual menerusi www.livepass.asia bermula semalam.

Konsert ini dianjurkan Rag Doll Records dengan kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Productions.

KINI LEBIH MATANG

Bukan mudah untuk penyanyi mengekalkan momentum selepas 20 tahun. Bagi Jaclyn, tempoh itu dianggap perjalanan yang mematangkan.

“Di awal dulu, lebih-lebih lagi ketika menyertai Malaysian Idol, saya puas dikritik. Dilabel penyanyi tak berperasaan.

“Saya akui perkara itu. Iyalah, pengalaman awal menyanyi diiringi band di kelab malam. Memang saya menyanyi sahaja, tak ada penghayatan atau jiwa.

“Bila masuk industri, saya belajar dan perbaiki kelemahan.

“Kini, selepas 20 tahun, saya penyanyi yang berbeza dengan ketika awal pembabitan saya dahulu. Kini lebih matang daripada sudut emosi dan penghayatan ketika menyanyi.

“Tapi perjalanan masih jauh. Masih banyak yang perlu saya pelajari,” kongsinya.

Habis –

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN