BINTULU: Seorang wanita maut, manakala suaminya cedera parah selepas tercampak keluar daripada kenderaan dinaiki yang disyaki terbabas di Jalan Persisir Bintulu-Semalajau, berdekatan Ladang Tatau Estate di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kidurong diketuai Komandan Harrison Dawi dikerahkan ke tempat kemalangan untuk bantuan menyelamat.
“Setiba anggota bomba di lokasi kejadian komander operasi memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Bezza dinaiki dua orang.
“Mangsa seorang perempuan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Menurut Harrison, kedua-dua mangsa adalah pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga.
“Mangsa lelaki berusia 25 tahun yang cedera parah dikenali sebagai Awg. Azizan Awg Adenan beralamat di Kampung Pengkalan Lobang, Niah, Miri.
“Sementara isterinya berusia 24 tahun yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Nur Fariha Abu Bakar Ashe’an dari RPR Fasa 2, Tanjung Kidurong, Bintulu,” jelasnya. – UTUSAN










