Israel hampir tawan pantai, laut sempadan Rafah

Israel hampir tawan pantai, laut sempadan Rafah

RAKYAT Palestin semakin hilang tempa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan pantai dan laut di Rafah serta Mawasi Khan Younis semakin lumpuh akibat penguasaan dan sera­ngan bertali arus tentera Israel yang kian meningkat setiap hari.

Serangan dan operasi ketenteraan yang semakin intensif oleh tentera Israel di kawasan tersebut menyebabkan angka kematian dan kecederaan parah dalam kalangan rakyat Palestin terus meningkat.

Selepas hampir sembilan bulan ditindas dan hidup dalam kon­flik serta krisis kemanusiaan yang belum kelihatan penghujungnya, tumpuan mereka kini adalah menyelamatkan diri daripada sera­ngan tersebut.

Seorang rakyat Palestin yang juga bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asmaa Hussein Eslayeh, 31, berkata, kehidupan rakyat Palestin di Gaza dilihat semakin sukar apabila tentera Israel semakin ‘seronok’ membedil di setiap kawasan bandar dan laut.

Katanya, tentera Israel hampir menawan dan menguasai seluruh bandar serta kawasan pantai di Rafah yang bersambung dengan pantai Khan Younis.

“Kawasan Rafah dan Khan Younis berada bersebelahan, jadi apabila mereka hampir menguasai seluruh Rafah, penduduk di kawasan sempadan ini hidup dalam keadaan berjaga-jaga dan perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan serangan setiap saat.

“Saya sekeluarga berada di kawasan yang berdekatan dengan laut antara Rafah dan Khan Younis yang pastinya dapat mende­ngar, melihat dan berasakan setiap serangan yang berlaku terutama di kawasan tengah, timur dan utara Rafah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Asmaa, kawasan di Gaza kini sangat tegang dengan letupan dan tembakan yang sering kedengaran sehingga menyebabkan rakyat Palestin terutama kanak-kanak perlu hidup dalam trauma serta ketakutan.

Berkongsi pengalaman menakutkan yang dialami oleh ahli keluarganya, Asmaa berkata, sera­ngan dron dan tembakan peluru berpandu memusnahkan kawasan Khan Younis, terutama kepada mereka yang berlindung dalam khemah di tepi pantai yang dianggap selamat oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

“Kanak-kanak dan wanita antara paling terjejas dan meng­alami trauma akibat keganasan serta serangan dari laut Rafah yang masih berterusan sehingga menyebabkan ahli keluarga terkorban.

Dia yang tinggal di Khan Younis berkata, kehidupan hari­an penduduk semakin ter­desak dengan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan apabila sekatan di sempadan Rafah menyebabkan bantuan kemanusiaan sukar di­salurkan.

Katanya, dari sudut ekonomi dan kewangan serta ketenteraan juga semakin meruncing apabila berlakunya peningkatan bila­ngan ketenteraan Hamas yang syahid di Rafah serta utara Gaza yang masih berterusan.

“Kebanyakan rakyat Palestin mengalami kebuluran kerana hanya ada sedikit tepung dan makanan dalam tin, malah kanak-kanak juga kekurangan bekalan susu sehingga menyebabkan kanak-kanak kelihatan kurus dan terkorban akibat kekurangan malnutrisi.

“Bekalan makanan masih ada namun tidak mampu tanggung penduduk dalam jangka masa yang panjang kerana harga makanan sangat mahal dan tidak semua orang mampu membeli dan terpaksa bergantung pada makanan dalam tin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×