KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggelar Kerajaan Perpaduan sebagai ‘lembu kenyang’ selepas didakwa tidak mendengar keluhan rakyat ekoran pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Mohd Radzi mendakwa kerajaan tidak menyelami masalah yang sebenar-benarnya dialami oleh rakyat.
“Saya dengar penjelasan Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan), berapa kali beliau sebut tentang kebajikan rakyat, kita boleh dengar berapa banyak perbincangan tentang kebajikan.
“Di luar sana, impaknya besar. Ini bukan perkara yang boleh main-main. Kalau dulu Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) kata sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan akhirnya tiba-tiba kena isi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
“Ini saya katakan tadi, ini kerajaan ‘lembu kenyang’, tidak mahu dengar rintihan rakyat. Rakyat di bawah bercakap tentang tekanan mereka hadapi tetapi kerajaan tidak bertindak,” katanya semasa sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Keadaan di Dewan Rakyat menjadi riuh semasa Amir Hamzah memberi penerangan mengenai penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan pada 10 Jun lalu.
Keadaan kemudian ditenangkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, subsidi diesel merupakan isu yang besar kerana sudah mencecah RM14 bilion.
Jelasnya, tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi membantu negara mengurangkan penyelundupan subsidi sebanyak 40 peratus.
“Kita tahu bahawa jika blanket subsidy tidak mampan dan akan mengbankrapkan negara pada masa depan. Siapa-siapa yang nak menjadi kerajaan akan berhadapan dengan masalah ini.
“Termasuk Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pernah cakap bahawa ini tidak mampan dan perlu disasarkan semula,” katanya.
Tambahnya, isu penyelarasan subsidi diesel kini sudah dijadikan sebagai isu politik oleh pihak pembangkang. – UTUSAN










