Harimau Kumbang gagal sekat Kenari terbang tinggi

Harimau Kumbang gagal sekat Kenari terbang tinggi

SYAMER Kutty (kanan) cuba melepasi kawalan Amirul Hisham ketika aksi bola sepak Liga Super antara Penang FC dan KDA FC di Stadium Bandaraya, malam ini.-GAMBAR/FACEBOOK PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Rekod tanpa kalah Penang FC selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super musim ini akhirnya lebur di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.

Kekalahan itu juga melebarkan rekod cemerlang anak-anak buah Nafuzi Zain ketika menentang skuad Pulau Mutiara dalam aksi ‘derby’ utara sejak musim lepas.

Bermula garang, tuan rumah bagaimanapun hampir mendahului lawan seawal minit ketiga menerusi Nabil Ahmad Latpi.

Bagaimanapun, rembatan deras bekas penyerang PDRM FC itu berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz.

KDA FC yang sesekali menyerang juga hampir memperoleh jaringan pada minit ke-15 apabila berlaku kekalutan di depan pintu gol Penang FC.

Namun, tindakan pantas penjaga gol Harimau Kumbang, Sikh Izhan berjaya menyelamatkan gawang Penang FC daripada dibolosi.

Keghairahan untuk mendapatkan gol juga mengundang padah buat Nabil apabila dia dilayangkan kad kuning pada minit ke-28 oleh pengadil, Faizudin Ismail kerana menampan bola dengan menggunakan tangan selepas menerima umpanan daripada Adib Ra’op.

Hasrat Penang FC untuk memecah kebuntuan jaringan terus hampa apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) pula menafikan peluang mereka mendapatkan tendangan penalti selepas bola yang dikawal Nabil dikatakan terkena tangan salah seorang pemain KDA FC pada minit ke-55 perlawanan.

Pemain tengah tuan rumah, Syamer Kutty juga hampir mencemaskan pasukan pelawat pada minit ke-67, namun, sepakan percuma luar kotak penaltinya sempat dikuis keluar oleh Kalamullah.

Meskipun kerap diasak, Kedah cuba bangkit dan menyusun jentera serangan mereka untuk memburu gol dan hasilnya, gol yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke-77 apabila lorongan kemas dqripada bekas tonggak skuad kebangsaan, Shafiq Ahmad berjaya disudahkan dengan baik oleh pemain gantian, Ebenezer Assifuah.

Penang FC cuba bangkit selepas ketinggalan satu gol, namun, usaha mereka tidak kesampaian apabila Kedah memperkemaskan benteng pertahanan mereka sekaligus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan itu juga menyaksikan Penang FC terus kempunan untuk mencatatkan kemenangan pertama liga musim ini selepas seri dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum tewas menentang Kedah malam ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN