PUTRAJAYA: Selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat, kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur diturunkan berkuat kuasa Isnin depan.
Ia melibatkan telur gred A, B dan C di seluruh negara yang diturunkan sebanyak 3 sen sebiji membabitkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM100 juta.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan penurunan harga itu, kini harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.
“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.
“Harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Perdana Menteri, perkembangan semasa menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.
Anwar menegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menggerakkan Op Tiris yang berlangsung sejak 1 Mac 2023 bertujuan bagi membanteras permasalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tatkala ia memanfaatkan pihak yang tidak layak.
Katanya, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14,208,824.00 telah dirampas.
Justeru, jelas beliau, atas hasil dan perkembangan yang baik dari op tersebut, maka Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakup barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).
“Sehingga 14 Jun lalu, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan tertinggi yang diseludup dan diseleweng.
“Lantaran itu, Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.
Malah, katanya, kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.
“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.
“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak kerajaan ini mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.
Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35. – UTUSAN