SEOUL: Penyanyi dan ahli kumpulan Big Bang, G-Dragon, dilantik sebagai pensyarah jemputan di Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea (KAIST).
Pelantikan yang dibuat pada Rabu itu bertujuan mengembangkan budaya Korea Selatan menerusi kandungan hiburan menggunakan kaedah sains dan teknologi.
“Ini merupakan penghormatan terbesar saya apabila dilantik sebagai profesor jemputan di KAIST memandangkan tempat ini sudah pun melahirkan ramai pelajar pintar.
“Semoga gabungan antara teknologi serta pengalaman saya dalam bidang hiburan akan membawa kejayaan sama seperti ‘Big Bang’,” katanya kepada media tempatan.
Bercerita lanjut mengenai pelantikan itu, Presiden KAIST, Lee Kwang Hyung, berhadap artis itu dapat menyumbang kepakaran sekali gus mempromosikan institusi itu ke peringkat global.
“Kami berharap profesor baru ini akan menjadi pemimpin dan perintis dalam sektor budaya dan seni,” katanya.
G-Dragon memulakan tugas sebagai tenaga pengajar selama dua tahun bermula 4 Jun lalu sehingga Jun 2026.