PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan membabitkan bas ekspres yang membawa rombongan guru bertembung treler dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran beliau di media sosialnya, Fadhlina mewakili Kementerian Pendidikan (KPM) merakamkan ucapan takziah dan turut mendoakan semua mangsa yang terselamat diberi kesembuhan.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru Allahyarhamah Puan Hasnatul Adila Hasan dan pemandu yang meninggal dunia.
“Saya mendoakan roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan di Instagram miliknya.
Difahamkan dalam kejadian tersebut, dua maut manakala 37 lagi cedera selepas bas ekspres membawa rombongan guru bertembung treler dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Rompin, Nor Azman Yusof berkata, kejadian sekitar 1.30 pagi mengakibatkan bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.
Katanya, bas itu dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Menurutnya, seorang guru maut di lokasi kejadian manakala pemandu kedua meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar sebuah treler membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya.
Nor Azman berkata, identiti mangsa meninggal dunia sedang dikenal pasti dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN









