KUALA LUMPUR: Keahlian enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugur secara automatik bermula semalam dan notis pemakluman mengenai perkara itu akan diberikan kepada mereka dalam masa terdekat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, notis yang akan dikeluarkan itu adalah sebagai pengesahan nama keenam-enam ahli Parlimen berkenaan telah dikeluarkan daripada senarai keahlian parti.
“Ya, keahlian mereka tergugur secara automatik dan notis akan dikeluarkan segera kepada mereka selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya meneliti perkara itu.
“Tetapi secara asasnya, habis sahaja tempoh 14 hari (hari ini) yang diberi kepada mereka, keahlian itu tergugur secara automatik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri diberi tempoh 14 hari untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sementara itu di Kota Bharu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengesahkan pihaknya menunggu surat rasmi daripada Bersatu mengenai status Mohd. Azizi.
Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, buat masa ini beliau tidak dapat membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan ADUN Nenggiri itu di DUN Kelantan kerana masih belum menerima surat rasmi berhubung perkara tersebut daripada Bersatu.
“Kita perlu ada surat rasmi daripada Bersatu untuk menetapkan status keahlian wakil rakyat mereka yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri untuk menetapkan sebarang perubahan termasuk kedudukan ADUN dalam Dewan.
“Kita tidak boleh berbuat apa-apa tanpa surat rasmi daripada parti tersebut. Apabila ada surat berkenaan barulah DUN Kelantan boleh membuat tindakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu, di sini semalam. – UTUSAN










