“Masa awal-awal mengajar saya panggil mereka cikgu sebab sudah terbiasa sejak zaman sekolah tetapi lama-kelamaan panggilan itu bertukar kepada ‘ kakak’ sebab lebih mesra ditambah pula kami kini rakan sejawatan.”
Demikian kata guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Tersang, Hashimah Amir Amjah, 36, ketika berkongsi kisah beliau yang bergelar pendidik di kampung halaman sendiri.
Menurutnya, lebih manis lagi ketika mula bertugas di SMK Tersang pada tahun 2015 masih terdapat beberapa orang guru yang pernah mengajarnya semasa zaman persekolahan masih berkhidmat sehingga kini.
“Saya menuntut ilmu di SMK Tersang sejak Tingkatan 1 pada tahun 2001 hingga tamat Tingkatan 6 pada tahun 2007. Kemudiannya saya menyambung pengajian dalam opsyen Pengajian Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama empat tahun.
“Selepas tamat pengajian, saya mula mengajar di SMK Mahmud pada tahun 2014. Sepanjang setahun mengajar di sana saya perlu berulang alik sejauh hampir 50 kilometer dari rumah di Felda Tersang 1 ke sekolah. Jadi saya buat keputusan untuk memohon pertukaran sekolah,” katanya.
Hashimah berkata, penantian tersebut tidak lama apabila setahun kemudian permohonannya untuk kembali berkhidmat di sekolah lama telah diluluskan.
Tambahnya, pada awalnya beliau berasa agak janggal kerana perlu bersama-sama bertugas dengan guru yang pernah mengajarnya dahulunya namun lama-kelamannya perasaan tersebut hilang.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana guru-guru saya dahulu sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan khususnya untuk menaikkan nama sekolah,” katanya. -UTUSAN










