KLANG: Dua kanak-kanak antara lima individu yang nyaris maut apabila dua kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kapar Batu 6 di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang yang turut melibatkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40-an itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara di kerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 3.10 petang.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati kereta Toyota Altis dan Perodua Bezza itu dihempap pokok.
“Semua mangsa termasuk dua kanak masing-masing lelaki dan perempuan bagaimanapun terselamat selepas keluar sendiri dari kenderaan itu sebelum ketibaan bomba,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, usaha memotong dan mengalihkan pokok itu sedang giat dilakukan bomba dan difahamkan, kereta Bezza itu dinaiki empat sekeluarga manakala Altis melibatkan seorang mangsa. – UTUSAN









