BAGAN SERAI: Kerajaan bersetuju menyalurkan dana RM4 bilion bagi pelaksanaan projek air yang disalurkan dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi menyelesaikan masalah air di Kerian dan sebahagian Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek penyaluran air dari Sungai Perak itu akan mampu membekalkan air terawat ke utara Perak dan juga Pulau Pinang.
Menurut beliau, projek tersebut akan menyelesaikan masalah bekalan air terutama bagi sektor pertanian yang kerap dihadapi di daerah Kerian iaitu Bagan Serai dan Parit Buntar.
Beliau berkata, menerusi projek tersebut juga sekali gus menjadi berita baik buat Pulau Pinang yang akan mendapat bekalan air dari Perak.
“Sebelum ini memang ada masalah sikit (bekalan air ke Pulau Pinang) dengan kerajaan negeri (Perak), jenuh pujuk Menteri Besar. Namun menurut kajian, bekalan air di Sungai Perak kalau diurus dengan baik maka ia boleh selesaikan dua masalah, pertama masalah banjir dan kedua keperluan air di Perak.
“Ketika saya menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, saya jelaskan bahawa menurut kajian kalau diurus bekalan air di Perak ini dengan baik ia bukan saja mencukupi tapi melebihi.
“Kalau selesai projek ini, maknanya untuk puluhan tahun akan datang keperluan untuk Kerian, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu kerian (KIGIP) dan sekurang-kurangnya selatan Seberang Perai atau Seberang Perai masalah air selesai,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Anwar, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu berunding untuk dengan kerajaan negeri Kedah bagi menyelesaikan sebahagian lagi masalah air di negerinya.
Sementara itu, mengenai KIGIP iaitu projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama, Perdana Menteri berkata, projek bekalan air dari Sungai Perak yang dirancang itu mampu memenuhi keperluan air untuk kawasan industri di KIGIP.
Menurutnya, untuk itu projek bekalan itu harus lebih teliti dan memerlukan kerjasama penuh kerajaan negeri.
“Air terawat dari Sungai Perak ini dapat memenuhi keperluan rakyat dan keperluan KIGIP yang akan memerlukan air yang cukup besar.
“Ini dapat dipenuhi dengan pengurusan air menggunakan jalur dari Bukit Merah ke Kerian untuk keperluan KIGIP dari Kerian terus ke Seberang Perai. Jadi ini berita baik untuk Pulau Pinang juga,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar meluluskan permohonan bagi pembinaan susur keluar atau interchange baharu dari KIGIP ke Lebuh Raya PLUS.
Kos pembangunan susur keluar itu dianggarkan berjumlah RM60 juta dan pembinaan susur keluar itu penting bagi pembangunan KIGIP kerana ia akan disambungkan dengan cadangan pembinaan jalan baharu bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan di sekitar KIGIP.
Lokasi yang dicadangkan terletak di antara 3.6 kilometer dari Plaza Tol Alor Pongsu arah utara dan ia akan menjadi gerbang masuk utama ke KIGIP.
Susur keluar itu turut boleh dimanfaatkan penduduk sekitar seperti Bagan Serai, Kampung Sungai Bogak, Kampung Tali Air dan Pekan Simpang Lima, Perak selain laluan alternatif terbaik untuk ke Lebuh Raya PLUS.
Pembinaan tersebut akan memendekkan jarak perjalanan kepada kurang 10 minit dan merupakan suatu keperluan yang amat mendesak bagi menjayakan Projek KIGIP.- UTUSAN










