PUTRAJAYA: Seorang warga Singapura akhirnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikehendaki pihak berkuasa itu kerana menjadi dalang ‘Sindiket kontena terbang’ sehingga negara kehilangan RM3.5 bilion akibat ketirisan cukai.
Bayaran rasuah itu disogok kepada pegawai penguat kuasa di pelabuhan Klang, Selangor sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat milikannya untuk tidak dikenakan bayaran cukai.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 5 petang kelmarin ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 30 Jun ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.
“Siasatan awal mendapati wang tersebut telah diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa. Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, SPRM memohon bantuan pihak berkuasa Singapura bagi mengesan dan menangkap dalang utama sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati, sindiket yang menyebabkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion itu didalangi suspek dari negara tersebut. – UTUSAN










