PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengambil wang milik suspek kes narkotik berjumlah RM20,000.
Ia susulan bapa suspek berusia 50-an membuat laporan polis di IPD Sepang, Ahad lalu mendakwa wang anaknya itu diambil pasukan polis yang menahannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan dijalankan dengan kes suspek yang didakwa dipukul anggota polis sama ketika dalam tahanan.
“Polis Selangor sudah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa anaknya dipukul oleh anggota polis narkotik IPD Petaling Jaya ketika dalam tahanan.
Bapanya membuat laporan polis kelmarin selepas mendakwa anaknya dipukul anggota dari Bahagian Narkotik IPD Petaling Jaya.
Untuk rekod, suspek lelaki berusia 20-an itu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 17 Mei lalu.- UTUSAN










