SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan tiga percubaan menyeludup masuk tembakau kunyah bernilai RM253,393 ke dalam negara di antara Mei hingga awal bulan ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, dua daripada kes berkenaan dikesan di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, manakala satu lagi kes di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) di sini.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 5,067.9 kilogram tembakau kunyah dirampas menerusi pemeriksaan yang dijalankan dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM409,411.
“Pada 29 Mei, Bahagian Penguatkuasaan Unit III Zon Tengah berjaya menyita sejumlah 2,700 kilogram tembakau kunyah yang cuba diimport tanpa permit yang sah dengan barang dagangan diikrarkan sebagai ‘console’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Selepas barang dagangan itu disita, tiada mana-mana pihak sama ada ejen mahu pun pengimport yang tampil untuk membuat tuntutan atau mengemukakan dokumen. Selain itu, siasatan turut mendapati alamat yang diletakkan pada barangan tersebut adalah palsu,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, JKDM turut menahan empat penumpang lelaki warga Asia Selatan pada 3 dan 7 Jun lalu yang cuba menyeludup masuk tembakau kunyah seberat 117.9 kilogram di dalam tujuh buah bagasi.
Katanya, siasatan awal mendapati semua orang yang disyaki (OYDS) berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun itu gagal untuk mengemukakan sebarang permit yang sah untuk mengimport barangan tersebut.
Pemeriksaan pasport menunjukkan mereka sering masuk Malaysia dan berada di negara ini dalam satu tempoh yang singkat.
Jelasnya lagi, kedua-dua kes berkenaan menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengisi tembakau kunyah di dalam bagasi yang dibawa oleh mereka secara daftar masuk (check in baggage).
“Menerusi kes ketiga, sindiket berkenaan disyaki datang ke negara ini secara berkumpulan dengan setiap daripada mereka membawa bagasi bagi memuatkan barangan untuk diseludup. Ini berdasarkan kepada penemuan sebanyak 88 bagasi yang ditinggalkan di ‘baggage carousel’ selepas tangkapan dibuat.
“Hasil semakan mendapati kesemua bagasi tersebut tiba melalui penerbangan yang sama dengan OYDS, kita percaya mereka sengaja meninggalkan bagasi-bagasi tersebut bagi mengelak daripada ditangkap setelah menyedari kegiatan mereka terbongkar.
“Pemeriksaan ke atas semua bagasi menjumpai tembakau kunyah seberat 2,250 kilogram yang bernilai RM112,500 dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM141,187.50,” ujarnya.
Norlela berkata, keempat-empat OYDS masing-masing direman sehingga 17 dan 21 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(f) Akta Kastam 1967, manakala kes di FCZ disiasat dibawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991.
Dalam perkembangan berlainan, Norlela berkata, JKDM menahan seorang lelaki warga Amerika Syarikat berusia 67 tahun yang cuba menyeludup dua bungkusan plastik berisi serbuk putih disyaki dadah berbahaya jenis kokain pada 4 Jun lalu di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 di sini.
Menurutnya, warga emas berkenaan yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah menaiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil dan transit di Doha, Qatar sebelum tiba di negara ini.
“Pemeriksaan yang dijalankan menemui dua bungkusan plastik berisi serbuk putih seberat 2.245 kilogram dengan anggaran nilai RM449,000 yang disembunyikan dalam ruangan khas di bahagian sisi hadapan dan belakang bagasi,” katanya.
Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga 18 Jun ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN