Bunuh isteri, lelaki berdepan hukuman tali gantung - Utusan Malaysia

Bunuh isteri, lelaki berdepan hukuman tali gantung

WONG Choon Foo yang dituduh membunuh isterinya didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penjaja ‘chee cheong fun’ berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah di Kampung Simee, kelmarin.

Tertuduh, Wong Choon Foo, 56, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret S. Punitha.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada Yew Mee Foong, 48, di sebuah rumah di Laluan Simee 11, Kampung Simee, Ipoh antara pukul 8.30 hingga 9 pagi, 12 Jun 2024

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam dan memohon tarikh sebutan baru bagi menunggu laporan kimia.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kawasan garaj rumahnya.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 8.30 pagi apabila mangsa dikatakan bertengkar dengan suaminya sebelum lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan memukul wanita itu di kepala dan menikamnya.

Lebih menyedihkan lagi kejadian itu disaksikan sendiri oleh anak perempuan pasangan berkenaan berusia 12 tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×