Bukti diesel subsidi bocor ke negara jiran – PM

Bukti diesel subsidi bocor ke negara jiran – PM

ANWAR Ibrahim (tengah) melihat proses melapah daging korban ketika menghadiri Program Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel ketika ini adalah tepat.

Menurut Perdana Mente­ri, langkah tersebut penting da­lam usaha Malaysia untuk menyelamatkan dana negara daripada bocor dan disalah guna oleh pihak tertentu sehingga keuntungan itu diperoleh oleh syarikat-syarikat besar dari negara jiran.

Jelas beliau, langkah yang sama juga penting bagi mengekang kecurian diesel terutamanya melibatkan nelayan asing serta syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di sempadan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua hari sudah, semua bas pelancongan dan syarikat-syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga sebab mereka tak dapat subsidi (diesel).

“Maknanya apa? Selama ber­­puluh tahun (sebelum ini) sub­sidi kita pergi ke syarikat-syarikat di Singapura dan pergi ke kapal-kapal Siam (Thailand), dicuri di sana-sini, bocor pun banyak,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ke­tika diminta mengulas me­nge­nai kewajaran penyasaran subsidi diesel di negara ini semasa menghadiri Program Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, memandangkan pe­laksa­naan penyasaran subsidi diesel masih di peringkat, maka, sudah pasti terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.

“Ya, kalau ada kelemahan, maklumkan dan kita akan be­tulkan. Saya masih ambil sikap kalau ada masalah, bagi tahu. Soalnya sekarang, adalah wajar (untuk) kita teruskan penyasaran subsidi diesel ini,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan terpaksa mene­tapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut pada 10 Jun lalu.

Sementara itu, bercakap me­ngenai BRICS, Perdana Menteri memberiahu, Malaysia sedang memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan iaitu BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi.

Menurut beliau, pihaknya telah mengambil langkah ke arah dan kini menunggu maklum balas seterusnya.

“Kami telah mengambil ke­putusan yang sewajarnya. Ka­mi akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi.

“Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini bercakap mengenai BRICS dalam temu bual bersama Guancha, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China selepas ditanya mengenai perkara itu oleh pengasas media itu, Eric Xun Li baru-baru ini

BRICS ialah kumpulan eko­nomi sedang pesat membangun membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Anwar berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan perbincangan mengenai pe­ngembangan BRICS dengan Pre­siden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini