Bekal senjata lelaki Israel: Warden diarah henti sebar info tak sahih - Utusan Malaysia

Bekal senjata lelaki Israel: Warden diarah henti sebar info tak sahih

Warden
SHARIFAH Faraha Syed Husin dan Abdul Azim Mohd Yasin diiringi polis tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor bagi sebutan semula kes penjualan senjata api kepada seorang lelaki warga Israel, di Kuala Selangor, Selangor, harin ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Peguam wanita yang dituduh membekal senjata api kepada lelaki Israel memohon Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan perintah supaya melarang warden Penjara Kajang memberi maklumat tidak sahih kepada anak guamnya.

Selain itu, pihak pembelaan turut memohon supaya tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dibenarkan menjalani pemeriksaan imbasan x-ray selepas jatuh pengsan dalam penjara akibat murung dan keresahan melampau (anxiety).

Peguam Mohamad Isa Mohamad Basir berkata, dua permohonan itu melibatkan kebenaran mendapatkan pemeriksaan kesihatan di luar penjara, namun warden dipercayai memberi informasi tidak benar kepada tertuduh.

“Dua minggu lalu, anak guam saya jatuh pengsan dan saya difahamkan dia hanya menerima rawatan biasa. Dia mengadu sakit di kepala dan mohon untuk mendapatkan pemeriksaan x-ray.

“Selain itu, difahamkan warden penjara memberi pelbagai informasi tidak benar dan telah memberi tekanan kepadanya. Dia sebelum ini pernah mengalami depresi dan anxiety,” katanya.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kemudian menasihatkan supaya kedua-dua perkara itu diselesaikan secara pentadbiran oleh pihak penjara dan pendakwaan.

“Pegawai perubatan di penjara memberikan rawatan sewajarnya dan jika tidak menerimanya, boleh maklum kepada pegawai itu. Mahkamah menasihatkan pihak warden tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar berkaitan kes ini,” perintahnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon tarikh sebutan bagi penyediaan dokumen. Prosiding sebutan kes itu turut dihadiri peguam Ethan Tan mewakili seorang lagi tertuduh, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, yang juga suami kepada Sharifah Faraha.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Julai depan.

Berdasarkan pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama isterinya itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki berkenaan mengetahui tentang pemilikan senjata api berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, kira-kira pukul 8 malam, 29 Mac lalu.

Pasangan itu masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN