Bapa dipenjara 8 bulan pukul anak, suruh jalan itik

Bapa dipenjara 8 bulan pukul anak, suruh jalan itik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang bapa lima anak dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyuruh dua anak kandungnya berusia 13 tahun dan 15 tahun berjalan itik untuk tempoh yang lama serta memukul mereka menggunakan jaring raket badminton.

Lelaki berusia 35 tahun itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 13 tahun (anak lelaki) dan anak perempuan yang berusia 15 tahun. 

Bagi setiap pertuduhan, Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah mengarahkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun lalu dan hukuman berjalan serentak. 

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Fadzlin meminta kepastian sama ada perbuatan itu untuk mengajar anak-anaknya.

“Ya, tapi saya tidak sangka situasi boleh menjadi seteruk ini,” katanya.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menganiaya dua mangsa yang juga merupakan anak kandungnya sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi. 

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Kepong Utara di sini, antara 30 Mei dan 1 Jun lalu.  Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Ketika prosiding, tertuduh merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman kerana dia penanggung tunggal keluarga selain telah insaf kesalahan yang dilakukan. 

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd. Latip memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada bapa lima anak itu dan orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan serupa. 

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah memukul kedua-dua anaknya menggunakan jaring  pada raket badminton yang telah menyebabkan kecederaan ke atas dua remaja berkenaan seperti yang dinyatakan dalam laporan awal perubatan. 

Tertuduh juga turut menyuruh dua remaja itu berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh masa yang lama sehingga mungkin menyebabkan kecederaan emosi atau fizikal ke atas mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN