BUTTERWORTH: Balu kepada anggota bomba, Allahyarham Mohd. Izwan Illias yang maut selepas terjatuh ketika sedang menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin, di sini Februari lalu terharu apabila menerima sebuah rumah sumbangan kerajaan negeri, hari ini.
Jamaliah Abd Majid, 42, yang menerima sebuah Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A secara sewa beli melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) itu berkata, sumbangan tersebut umpama rezeki yang besar buat anak-anaknya ketika ini.
Katanya, dengan adanya sebuah kediaman yang baharu, mereka sekeluarga kini mempunyai suatu tempat perlindungan yang lebih terjamin.
“Syukur Alhamdulillah dengan rezeki ini yang saya anggap sebagai rezeki anak-anak. Saya juga terharu kerana ramai pihak yang prihatin dengan nasib kami seperti Zakat Pulau Pinang (ZPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak sekolah anak-anak yang tampil untuk membela nasib kami sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ibu kepada lima orang cahaya mata itu berkata, sejak kematian suami tercinta, dia terpaksa bekerja keras termasuk berniaga secara dalam talian selain mengambil upah menghantar dan mengambil murid sekolah bagi menampung perbelanjaan harian.
“Saya buat ‘dropship’ untuk barangan kosmetik, tudung dan sebagainya secara ‘online’ selain turut mengambil upah menghantar dan mengambil murid sekolah yang juga anak kepada kawan-kawan saya.
“(Pendapatan yang diperoleh ini) sedikit sebanyak dapatlah menampung keperluan anak-anak untuk belajar serta (menampung) keperluan lain,” katanya yang tinggal dekat Penaga, Kepala Batas sejak 13 tahun lalu.
Terdahulu, majlis serahan replika kunci rumah tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo kepada anak kedua Allahyarham iaitu Ihsan Zulfaqar Mohd Izwan, 15.
Hadir sama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Datuk Seri Phee Boon Poh; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji serta Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 24 Februari lalu berkata, kerajaan negeri bersedia menyalurkan sumbangan termasuk mempertimbangkan pemberian sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara sewaan jika menerima permintaan daripada pihak JBPM atau keluarga Mohd. Izwan.
Mohd. Izwan, 42, yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan enjin bot pasukan penyelamat di jeti berkenaan.
Selain Jamaliah, Allahyarham turut meninggalkan lima anak berusia antara empat hingga 16 tahun termasuk Ihsan Zulfaqar.-UTUSAN










