PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Nelissa Nizam menafikan dakwaan kononnya dia ‘gembira’ dengan insiden suara sumbang yang menimpa kumpulan The Gadys yang pernah dianggotainya sebelum ini.
Jelas Nelissa, kejadian yang tular itu sebenarnya memberi peluang kepada ahli The Gadys untuk lebih dikenali walaupun terpaksa berdepan kecaman segelintir warganet terhadap nyanyian sumbang mereka.
“Pengunduran saya daripada kumpulan itu adalah untuk memberi fokus kepada lakonan saya. Saya tak anggap pun itu adalah keputusan tepat gara-gara kejadian tular itu. Komitmen saya adalah lakonan.
“Apa yang berlaku sebenarnya di luar kawalan. Saya melihat kejadian yang tular itu sebagai rezeki dan peluang mereka untuk lebih dikenali. Kita kena positif kan.
“Kejadian tersebut juga membuatkan mereka lebih berusaha memperbaiki dan memantapkan diri dengan menghadiri kelas vokal. Itu adalah satu usaha yang sangat baik,” katanya.
Nelissa yang giat mempromosikan filem baharunya, Saka Perawan juga menafikan mempunyai masalah dengan ahli kumpulan tersebut sebaliknya mereka saling berhubung antara satu sama lain.
“Kami masih berhubung dan berkawan seperti biasa. Tiada masalah pun. Bila ada masa lapang, kami jumpa.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Apa sahaja perkara baharu yang kita mahu buat, pasti ada cabarannya kan,” kongsinya yang mengundurkan diri daripada The Gadys pada November tahun lalu.
Untuk info, kumpulan The Gadys kini dianggotai oleh Azie, Thamiera dan Ayunie. –UTUSAN