Apa boleh dibuat dengan RM4 bilion?

Apa boleh dibuat dengan RM4 bilion?

PENJIMATAN se­banyak RM4 bilion hasil daripada penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa kelmarin boleh digunakan untuk pelbagai man­faat untuk rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjimatan se­banyak RM4 bilion hasil daripada penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa kelmarin boleh digunakan untuk pelbagai man­faat untuk rakyat, contohnya membina 130 buah klinik kesihatan di seluruh negara.

Pembinaan sebuah klinik kerajaan dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya RM30 juta sekali gus dapat meningkatkan mutu kemudahan kesihatan di samping memenuhi sasaran nisbah satu doktor kepada 400 pesakit.

Nilai penjimatan berkenaan juga boleh digunakan untuk membina sekurang-kurangnya 40 buah sekolah ke arah menangani isu sekolah padat.

Dalam Belanjawan 2024, ke­­rajaan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk 26 sekolah ba­haru di seluruh negara.

Malah lebihan penyasaran subsidi diesel dapat dibelanjakan untuk membina sebuah lagi loji rawatan air (LRA) di Lembah Klang seperti LRA Sungai Rasau di Banting yang menjadi loji paling besar dan termaju di Asia Tenggara de­ngan kemampuan menghasilkan bekalan air bersih seba­nyak 1,400 juta liter sehari (JLH).

Pada masa sama, RM4 bilion berkenaan boleh dibelanjakan untuk menambah baik kemudahan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor yang kini digunakan lebih sejuta penumpang dalam sehari.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penjimatan subdisi diesel itu mempunyai matlamat serempang dua mata iaitu mengecilkan lagi defisit fiskal kepada tiga peratus menjelang 2026 dan memfokuskan penyaluran dana awam untuk kumpulan memerlukannya.

Katanya, meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan penjimatan RM4 bilion itu untuk digunakan menampung semua bantuan rakyat, namun pada masa sama boleh disalurkan bagi tujuan sektor kesihatan dan pendidikan.

“Misalnya Perdana Menteri memaklumkan RM4 bilion yang diraih menerusi penyasaran semula subsidi diesel akan dibelanjakan bagi menampung keperluan kos pengangkutan awam dan

Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Namun saya berpandangan ia boleh diperluas untuk tujuan lain selepas penyasaran subsidi secara menyeluruh kelak.

“Bagaimanapun rakyat bakal menerima tempias manfaat ini bukanlah dalam masa terdekat, tetapi sekurang-kurangnya pada tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penyasaran subsidi diesel adalah langkah ketiga dilaksana kerajaan bagi menstruktur semula agihan subsidi negara, selepas tarif elektrik dengan penjimatan RM4.5 bilion dan pengapungan harga ayam dan telur RM1.2 bilion.

Perkembangan itu menyaksikan harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin lalu.

Sebelum ini, harga diesel di­­jual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 seliter bagi nelayan; pengangkutan awam darat (RM1.88 seliter); kenderaan komersial dan persendirian (RM2.15 seliter dan harga pasaran tanpa subsidi bagi sektor komersial yang pernah mencecah RM3.60 awal tahun ini.

Ketika ditanya waktu sesuai pelaksanaan penyasaran subsidi menyeluruh, Barjoyai berkata, pengapungan harga petrol tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat di samping beliau percaya bahawa kerajaan akan melihat keberhasilan projek rintis bahan api diesel.

Katanya, kerajaan kini dilihat berhati-hati untuk melaksanakan penyasaran subsidi dengan dibuat secara berperingkat kerana tidak mahu ia terlalu drastik sehingga mempengaruhi kesan berganda terhadap kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

“Kita tahu selepas pengapungan harga diesel bermula Isnin lalu, sudah ada peniaga menaikan harga. Namun kita tidak boleh menyalahkan mereka, kerana Malaysia mengamalkan pasaran terbuka untuk berbuat demikian.

“Sebaliknya para peniaga tidak boleh melakukan pencatutan harga dan ia dikawal oleh undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, pakar ekonomi, Datuk Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, antara matlamat lain penyusunan semula subsidi diesel adalah untuk membasmi penyeludupan yang dibawa keluar ke negara lain memandangkan harga bahan api itu di Malaysia adalah antara terendah.

Katanya, keputusan tersebut bukan sahaja dapat membasmi ketirisan malah tidak memberi ‘keuntungan atas angin’ terhadap pihak tertentu yang sewenang-wenangnya mencari peluang.

“Penyeludupan akan terhenti jika penyasaran subsidi dilakukan yang bermakna tiada subsidi untuk diesel dengan harga pam akan naik mengikut harga pasaran,” katanya.

Nungsari berkata, selain golongan B40 dan M40, penyasaran subsidi juga melibatkan kumpulan tertentu seperti nelayan, bas sekolah, syarikat pengangkutan yang masih menerima imbuhan tunai sekali gus menjadikan kos diesel mereka lebih rendah daripada harga pasaran.

“Jadi tiada sebab mengapa harga bas sekolah sebagai contohnya kena naik harga kerana pengusaha bas menerima tunai yang merupakan subsidi untuk kos dieselnya. Begitu juga bas biasa atau pun lori pengangkutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN