Anggota tentera, isteri hamil anak kembar maut kemalangan

Anggota tentera, isteri hamil anak kembar maut kemalangan

KEADAAN kenderaan mangsa selepas maut di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang anggota tentera dan isterinya yang hamil enam bulan maut apabila kereta jenis Kia Rio yang dinaiki merempuh tembok longkang di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi, Ridwan Effendy Yusof, 43, yang memandu kereta tersebut dan isterinya, Suhana Khairudin, 37, mati di lokasi akibat kecederaan parah.

Sementara itu, dua anak mereka yang berada di tempat duduk belakang, Qaisara Damia, 15, dan Akid Darwisy, 9, luka pada bahagian kaki dan mulut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Gua Musang.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian pemandu kenderaan secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri serta merempuh tembok longkang di tepi jalan.

“Akibat pertembungan tersebut pemandu kenderaan telah tercampak keluar daripada kenderaan dan isterinya beralih di tempat duduk  pemandu dalam kenderaan. 

“Kedua-dua mangsa maut di lokasi kemalangan dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Choon Foo berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×