PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menggangu gugat keamanan dan Perlembagaan negara akan dikenakan tindakan seterusnya didakwa ke mahkamah.
Perdana Menteri menegaskan, terdapat beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipertikaikan.
“Jangan gugat kekuatan negara dan prinsip utama Perlembagaan negara. Kalau gugat, kita akan ambil tindakan dan dakwa mereka,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.
Anwar menjelaskan, Kerajaan Madani membawa perubahan, namun penggunaan media sosial ketika ini dilihat semakin bebas.
Beliau berkata, semua pihak tidak disekat untuk berbicara soal kaum dan agama, tetapi tidak boleh menabur fitnah sehingga menanam kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Saudara, orang panggil saya dajal pun saya tak padamkan, tetapi kalau dia hasut kaum benci kaum lain, hina agama, bawa fatwa sendiri, itu tidak boleh.
“Kita kena jaga keamanan. Apa ikrar kita sebagai penjawat awam dalam Rukun Negara? Ada hal-hal dari segi Perlembagaan kita tidak boleh pertikaikan. Baik kenyataan orang Melayu, Cina, Sabah Sarawak, saya tidak peduli,” katanya.
Pada masa sama, Anwar tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang mengizinkan kehancuran berlaku.
Beliau berkata, tanggungjawab untuk menjaga negara adalah terletak di bahu semua pihak dan bukan semata-mata kepada kepimpinan kerajaan.
“Boleh sebut soal kaum dan negara tetapi jangan fitnah, jangan tanam bibit ini. Belajar daripada negara lain. Pergaduhan antara kaum, agama, hancur negara.
“Bicara sekarang kadangkala melebhi hak dan prinsip Perlembagaan. Boleh bicara tetapi jangan langgar kerana tanggungjawab kita adalah untuk menjaga negara,” katanya. – UTUSAN