AI strategi utama tingkat produktiviti, inovasi

AI strategi utama tingkat produktiviti, inovasi

DATUK Hairil Yahri Yaacob (TENGAH) bersama Zahid Ismail (KANAN) dan Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, selepas Pelancaran Laporan Produktiviti Malaysia 2024, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara kini beralih kepada kecerdasan buatan (AI) sebagai salah satu strategi utama dalam usaha meningkatkan produktiviti, kecekapan proses dan inovasi, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya melalui Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, produktiviti berkaitan AI adalah satu bidang di mana potensi peningkatan amat besar.

“AI dapat menyederhanakan tugas-tugas yang kompleks dan remeh, sekali gus meningkatkan produktiviti dan membuka pintu kepada kreativiti dan pemikiran strategik.

“Kajian mengenai generatif AI terhadap pekerja mahir menunjukkan peningkatan prestasi sekitar 40 peratus, menandakan impak signifikan AI dalam meningkatkan produktiviti,” katanya semasa Majlis Pelancaran Laporan Produktiviti Malaysia 2024, di sini.

Menurutnya, selain AI, usaha meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut menjadi fokus untuk meningkatkan kerumitan ekonomi dengan menghasilkan dan menyampaikan produk serta perkhidmatan yang kompetitif.

“Inovasi adalah sama pentingnya dengan inovasi produk dan kritikal untuk meningkatkan produktiviti.

“Kerajaan juga sedang mengorak langkah ke arah tenaga kerja berkemahiran tinggi yang didorong oleh industri, di mana kemahiran dan kecekapan digital menjadi antara ciri utama bakat tersebut.

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, menarik pelaburan ke negara, dan mensasarkan gaji yang lebih tinggi serta insentif yang lebih baik untuk tenaga kerja Malaysia.

“Di samping teknologi dan bakat, persekitaran peraturan yang menyokong juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti.

Tambahnya, peraturan perlu memudahkan pertumbuhan, mengurangkan kos pematuhan yang tidak perlu, dan penggunaan sumber untuk perniagaan.

“MITI komited untuk melaksanakan inisiatif Zero Red Tape bagi memajukan iklim pelaburan dan perniagaan di negara ini.

“Dengan langkah-langkah ini, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, berkata, Laporan Produktiviti 2024 mengesyorkan penekanan pada peraturan, teknologi, dan bakat untuk melipatgandakan pertumbuhan produktiviti.

“Penggubal dasar dan pengawal selia harus menggunakan pendekatan Amalan Peraturan Baik (GRP) untuk memudahkan perniagaan, perdagangan, dan pelaburan.

“Perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus menerima pakai teknologi dan amalan pengurusan moden untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos.

“Kami optimis mencapai sasaran produktiviti pada kadar pertumbuhan tahunan purata 3.7 peratus antara 2021 dan 2025 dengan tahap produktiviti RM107,170 per pekerja pada 2025, seperti yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Kedua Belas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN