PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tujuh individu kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion.
Menurut sumber, kesemua suspek yang merupakan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan dalam Op Transit lewat petang kelmarin di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang.
Susulan penahanan itu, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga pegawai agensi penguat kuasa, seorang pengarah syarikat dan tiga pekerja syarikat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam.
Katanya, perintah reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 9 Jun terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin.
“Sindiket ini dipercayai membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Dalang sindiket ini ialah seorang warga Singapura dan kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga dan daripada tangkapan tersebut SPRM membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit,” katanya.
Rabu lalu, hasil operasi yang dijalankan SPRM dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) berjaya menahan 19 buah kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.
Daripada pemeriksaan yang dibuat, sebanyak lima kontena dibuka dan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses.
Kesemua kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda (wheel chair), tekstil dan tandas duduk (commodes) bagi mengelak cukai.
Anggaran kasar nilai 19 kontena yang ditahan termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Kata beliau, SPRM juga akan menyiasat kes ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Beliau menjelaskan hasil perbincangan dengan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin sebelum ini, kes-kes yang melibatkan pengisytiharan palsu dan lain-lain kesalahan sebagaimana tertakluk di bawah Akta Kastam 1967 akan dikendalikan pihak JKDM.
Pada masa sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti seluruh aspek pembayaran cukai syarikat dan individu yang terlibat. – UTUSAN









