KUALA KANGSAR: Kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha dirasai kira-kira 50 isi rumah golongan miskin di kawasan Lubuk Merbau, dekat sini apabila mereka menerima sumbangan daging seberat dua kilogram, kelmarin.
Sumbangan tersebut diberikan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perak menerusi Program Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1445H yang diadakan di kawasan itu.
Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Mazlan Zurin Zulkifli berkata, pemberian itu dibuat supaya penerima boleh membuat persiapan awal menjelang tarikh sebenar Aidiladha esok.
Katanya, Pejabat Pembangunan Negeri Perak adalah agensi negeri Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bawah Jabatan Perdana Menteri sentiasa berusaha untuk meraikan dan membantu golongan tersebut keluar daripada kemiskinan.
“Menjadi sebahagian tugas kita untuk mendekati masyarakat miskin dan miskin tegar.
“Alhamdulilah dengan kerjasama dengan daerah-daerah, kita berjaya mencapai matlamat untuk menyifarkan miskin tegar mengikut perangkaan tahun 2024,” katanya.
Perak sebelum ini mengumumkan berjaya menyifarkan bilangan ketua isi rumah (KIR) kategori miskin tegar bagi tahun 2024, menerusi pelbagai inisiatif bantuan yang dilaksanakan.
Mengikut statistik, sebanyak 8,128 KIR yang diambil kira setakat Februari 2024, telah disifarkan pada 17 Mei lalu.
Mazlan Zurin berkata, program yang dianjurkan itu adalah aktiviti tahunan dan diadakan di daerah berbeza setiap tahun.
“Pelbagai program diisi dalam setiap penganjuran terutama berkaitan aktiviti ekonomi dan keusahawan untuk memberi sokongan serta bantuan kepada rakyat khususnya kategori miskin tegar,” katanya. – UTUSAN










