16,496 saman dalam tempoh lima hari di ibu negara

16,496 saman dalam tempoh lima hari di ibu negara

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 16,496 saman dikeluarkan polis dalam tempoh lima hari pelaksanaan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya (Op HUU) di sekitar ibu negara bermula 4 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, halangan lalu lintas atau parkir kesalahan tertinggi direkodkan dalam tempoh tersebut.

Katanya, sebanyak 12,376 saman melibatkan halangan lalu lintas, berhenti petak kuning (26), berhenti di laluan pejalan kaki (707), tiada lesen memandu (470), kesalahan nombor plat (238) dan cukai jalan tamat tempoh (316).

“Selain itu kesalahan tiada insuran (lapan), tidak ikat topi keledar (53), tiada nombor pendaftaran (122), tiada cermin sisi (195), menggunakan telefon (100), tidak tampal P (121), lesen tamat tempoh (73), lampu brek tidak fungsi (tiga) dan ubah suai kenderaan (28).

“Sebanyak 196 operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara antaranya Op Telefon Bimbit, Op Motosikal, Op Had Laju/LSD, Op Perdagangan dan Op Halangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 188 pegawai kanan dan 2,183 anggota JSPT Kuala Lumpur ditugaskan sepanjang tempoh tersebut selain dibantu beberapa anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“JSPT Kuala Lumpur juga melakukan sebanyak 34 tangkapan dan menyita dua buah motosikal dan sebuah lori,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi trafik secara besar-besaran menerusi Op HUU di seluruh ibu kota, bermula 4 Jun sehingga 15 Jun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, dianggarkan 200 anggota ditugaskan setiap hari terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari jabatan dan daerah Kontinjen Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN