KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika ini mempunyai 10 buah Rumah Seri Kenangan (RSK) yang menampung 1,640 penghuni manakala dua buah Rumah Ehsan (RE) yang berkapasiti 255 penghuni.
Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga Mac 2024, seramai 1,066 penghuni ditempatkan di RSK manakala 43 penghuni di RE, menjadikan 1,109 warga emas secara keseluruhan kini berada di bawah JKM.
Selain itu, kata beliau, terdapat 409 Pusat Jagaan Warga Emas kendalian pihak swasta yang berdaftar dengan JKM dan setakat 30 April lalu telah memberi penempatan kepada lebih 8,500 penghuni.
“KPWKM menekankan prinsip “Penjagaan Berasaskan Keluarga” dan konsep “Penuaan Setempat” (Aging-in-Place), di mana warga emas tinggal di rumah mereka sendiri.
“Melalui Dasar Warga Emas Negara, kerajaan berusaha menyokong anak-anak atau keluarga dalam menjaga ibu bapa di tempat mereka diami demi meningkatkan kualiti hidup warga emas,” katanya.
Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah warga emas yang ditempatkan di rumah jagaan orang tua termasuk yang dikendalikan pihak swasta.
Selain itu, Mas Ermieyati turut membangkitkan persoalan mengenai cadangan untuk memberikan elaun kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka di rumah bagi mengelakkan pengabaian seperti yang dilaksanakan di negara maju.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, kerajaan menerusi JKM melaksanakan skim bantuan kewangan secara bersasar, iaitu khusus untuk warga emas yang menepati kelayakan.
Kata beliau, ia dilaksanakan dengan objektif agar mereka dapat meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup bersama keluarga atau dalam komuniti.
“Skim Bantuan Warga Emas (BWE) dan Skim Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) masing-masing sebanyak RM500 sebulan untuk meringankan beban keluarga atau penjaga yang layak bagi membantu meringankan beban mereka untuk menjaga ahli keluarga yang sakit.
“Kerajaan juga telah membelanjakan kira-kira RM165 juta sepanjang 2023 dan memanfaatkan lebih 28,000 orang penerima,” katanya. – UTUSAN










