SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengekalkan kutipan dan agihan zakat bagi 2023 pada kadar lebih RM1bilion untuk tempoh dua tahun berturut-turut sejak kali pertama mencecah angka tersebut pada 2022.
Pada tahun lalu, LZS mengutip sebanyak RM1.12 bilion dan jumlah itu meningkat sebanyak 4.8 peratus berbanding RM1.07 bilion pada 2022.
Selain peningkatan kutipan, LZS juga melaporkan peningkatan jumlah agihan melebihi kutipan pada tahun lalu sebanyak 9.7 peratus atau RM1.15 bilion melibatkan sebanyak 350,000 penerima berbanding RM1.05 bilion pada 2022 dengan jumlah penerima yang sama.
Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, potongan gaji kekal sebagai kaedah kutipan utama, manakala pembayaran melalui kad debit mencatatkan pertumbuhan tertinggi untuk tempoh ini. Jamalullail berkata, potongan gaji kekal sebagai kaedah kutipan utama, manakala pembayaran melalui kad debit mencatatkan pertumbuhan tertinggi untuk tempoh itu.
“Kami berterima kasih kepada muzakki atas kejayaan ini. Peningkatan kutipan zakat bagi tahun 2023 memperlihatkan komitmen tidak berbelah bahagi LZS terhadap misi kami dan lebih penting bagi mencerminkan keyakinan yang diletakkan terhadap kami oleh umat Islam di Selangor untuk menunaikan kewajipan zakat mereka.
“Kutipan zakat terbesar diperolehi daripada zakat pendapatan dan perniagaan. Kita memuji mereka yang menunaikan kewajipan itu kerana sumbangan mereka membawa perbezaan yang bermakna dalam kehidupan golongan memerlukan pada masa-masa mencabar ini,” katanya pada sidang akhbar Agihan dan Kutipan Zakat Selangor 2023.
Bagaimanapun, jumlah pembayar zakat bagi tahun lalu dilihat menurun kepada 390,000 muzakki berbanding 400,580 pada 2022.
Terdahulu, beliau membentangkan laporan audit LZS dan laporan pencapaian prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menjadi sebahagian daripada mandat dan tuntutan operasinya.
LZS dilapor menjadi baitulmal atau institusi bukan syarikat pertama di negara ini yang menerbitkan laporan ESG sendiri.
Dalam pada itu, Syed Anwar turut memaklumkan agihan zakat pada tahun lalu memberi manfaat kepada lebih 65,000 keluarga asnaf, dengan lebih 3,600 keluarga berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Hampir menggandakan angka tahun lepas, (itu) jumlah tertinggi yang pernah kami capai dalam masa setahun.
“Program pengagihan kami yang terbesar disalurkan kepada pembangunan sosial yang menjadi salah satu tonggak utama, dengan sumbangan RM777 juta, meliputi hampir 70 peratus daripada jumlah agihan.
“Daripada kategori-kategori agihan, penerima terbesar adalah keluarga dalam segmen fakir miskin, miskin dan mualaf yang menerima lebih daripada RM670 juta atau hampir 60 peratus daripada keseluruhan agihan.
“Jumlah zakat yang besar itu memberikan sokongan penting kepada golongan asnaf dengan meringankan beban dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini memaklumkan pihaknya mengunjurkan peningkatan sehingga 157,000 keluarga asnaf pada 2030 berbanding 70,000 ketika ini. – UTUSAN










