LAMBAKAN kes perceraian yang berlaku sekarang ini membuktikan masalah rumah tangga yang gagal ditangani membuatkan semakin ramai pasangan suami isteri yang memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Terpanggil berkongsi pengalaman, pelakon dan pengacara, Yasmin Hani yang bergelar ibu tunggal sejak hampir empat tahun lalu memaklumkan perceraian bukan satu keputusan yang mudah dibuat dan memerlukan kewarasan akal sebelum keputusan itu diambil.
Katanya, paling penting adalah kemampuan bekas pasangan suami isteri untuk mengekalkan hubungan baik demi kemaslahatan anak-anak.
“Meskipun sudah tidak lagi bergelar suami isteri, saya dan bekas suami bertekad untuk kekalkan hubungan baik. Cuma gaduh, baik kami tidak pula kami canang kepada sesiapa.
“Dan kami hampir setiap hari berhubung. Dia pun tak pernah culas mengambil dan menghantar anak pergi serta balik sekolah disebabkan kami tinggal berdekatan.
“Semua ini demi anak-anak. Kami tahu mereka perlukan perhatian dan kasih sayang sama rata dari kedua ibu bapa mereka,” katanya yang ditemui sewaktu pelancaran trailer filem Jangan Pandang Belakang 2 baru-baru ini.
Yasmin dan bekas suaminya, Sha’rin Razali memutuskan untuk berpisah pada Disember 2021.
Hasil pekongsian hidup mereka dikurniakan sepasangan cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong dan Eissa Elzander Wong.
Selebriti berusia 44 tahun itu juga mendedahkan sering diajukan pelbagai soalan di media sosial mengenai perceraian yang dilaluinya pada 2021.
Katanya, selain hubungan yang baik dengan bekas suami, dia turut berkongsi pandangan tentang pentingnya bekas suami isteri untuk bertoleransi dan tidak berebut hak penjagaan.
“Jangan rebut (hak penjagaan) kerana yang akan paling terkesan adalah anak-anak. Kita tak wajar tidakkan hak untuk mereka mendapatkan perhatian dan kasih sayang ibu bapa.
“Percayalah anak-anak akan teladani sikap ibu bapa mereka. Kalau pun perceraian itu harus berlaku, biarlah ia terjadi dengan harmoni tanpa menidakkan hak sesiapa.
“Dan yang paling penting isteri yang menuntut cerai perlu bersedia dari sudut kewangan, jangan bertukar papa kedana dan hindari terbeban dari segi wang ringgit sekiranya mereka ditakdirkan menjadi ibu tunggal.
“Kepada bekas suami pula, jangan menjatuhkan dan memburuk-burukkan bekas isteri sehingga memberi gambaran negatif kepada anak-anak. Hiduplah secara harmoni meskipun tidak lagi bersama,” kongsinya.

TERUSKAN TRADISI HARI RAYA DENGAN BEKAS SUAMI
BERCERITA tentang sambutan Hari Raya Aildilfitri, Yasmin memaklumkan, tradisi berhari raya bersama bekas suami juga tetap diteruskan meskipun kini sudah membawa haluan masing-masing.
Kata pemilik nama sebenarnya Yasmin Hani Ismail RIchardson, perkara itu juga perlu diteruskan bagi memberikan anak-anak keseronokan berhari raya seperti dahulu sewaktu mereka masih bersama sebagai sebuah keluarga.
“Hari Raya memang kena sambut bersama. Cuma bezanya tahun ini kami tidaklah melakukan solat Aidil tri bersama.
“Tapi kami akan kekalkan tradisi kunjungan mengunjung ke rumah keluarga masing-masing. Saya bernasib baik juga kerana rumah bekas suami dan keluarganya berdekatan dengan rumah saya,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Yasmin turut memaklumkan dia telah mengubah sedikit kebiasaan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini dengan memperbanyakkan aktiviti mengunjungi sanak saudara pada tahun ini.










