Wanita Sweden antara dua mangsa cedera pokok tumbang

Wanita Sweden antara dua mangsa cedera pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis  mengenal pasti seorang wanita Sweden menjadi salah seorang mangsa yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini. 

 

Dalam kejadian tersebut,  seorang lelaki meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan cedera.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, pemandu sebuah kenderaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian. 

 

“Selain itu, dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang juga pemandu e-hailing serta penumpang iaitu seorang wanita warga Sweden berusia 72 tahun dilaporkan cedera. 

 

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

 

Nazron berkata, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelak melalui lokasi kejadian kerana  jalan berkenaan ditutup bagi kerja-kerja pembersihan. 

 

Kata beliau, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa beberapa jam sehingga malam ini. 

 

“Laluan ini akan dibuka semula kepada orang ramai sebaik kerja-kerja pembersihan selesai,” katanya.

 

Kata beliau, orang ramai yang terbabit dalam kejadian itu diminta tampil membuat laporan mengenai kerosakan kenderaan dan kecederaan dialami. 

 

“Ia bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. 

 

“Kami juga sedang mengesan waris mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian ini untuk proses bedah siasat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN