GUA MUSANG: Seorang pekerja ladang wanita warga Myanmar cedera selepas dipercayai diserang hidupan liar semasa sedang menoreh dalam kejadian di Ladang Teroka Tuah Sdn. Bhd, Aring 8, di sini.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10 pagi semalam.
Menurutnya, sejurus menerima laporan itu sepasukan anggota telah dikejarkan lokasi untuk membuat siasatan.
“Bagaimanapun, kejadian tersebut dipercayai berlaku 8.00 pagi pada 3 Mei lalu. Mengikut rekod aduan, Perhilitan Daerah Gua Musang tidak pernah menerima aduan dari Ladang Teroka Tuah Sdn. Bhd sepanjang 2023 dan tahun ini.
“Serangan haiwan liar terutama gajah di negeri ini berlaku 2 Ogos tahun lalu di Ladang Sindiyan, Lojing di sini melibatkan kematian seorang lelaki tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar kenyataan itu lagi, 4 Disember lalu seorang lelaki warganegara Indonesia maut dalam serangan gajah liar yang berlaku Ladang Upaya Padu.
“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.-UTUSAN










