KUALA LUMPUR: Sentimen perkauman dan calon luar kawasan tidak harus dijadikan ‘permainan’ oleh lawan termasuk Perikatan Nasional (PN) bagi ‘melumpuhkan’ kepercayaan pengundi Melayu khususnya terhadap UMNO.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang lebih penting perlu memikirkan perkhidmatan bakal diberikan selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) nanti.
Bagaimanapun, menurut beliau, UMNO optimis calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Pang Sock Tao mampu menang.
“Ini bukan soal perkauman dan isu calon luar ini bukan isu, dulu pun ramai sahaja yang calon luar..tetapi kebetulan di situ calon lain adalah calon dalaman. Jangan main isulah.
“Apa yang penting dia boleh memberikan perkhidmatan selepas dia menang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Sock Tao; Khairul Azhari Saut mewakili PN; Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beberapa saluran Pusat Daerah Mengundi (PDM) menjadi harapan UMNO untuk memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.
Kata beliau, pihaknya telah membuat kajian mengenai perkara itu, malah peranan untuk menarik pengundi Melayu telah digerakkan kerana ia sememangnya fungsi utama yang dimainkan UMNO pada waktu kini.
“Peranan kita adalah peranan utama kepada pengundi Melayu, terdapat lapan PDM dan terdapat 4,500 pengundi daripada UMNO, dan kita telah lakukan koordinasi.
“Saya yakin dengan peratusan undi awal, dan 11 Mei (esok) adalah hari sebenar. Kita bukan hanya susun..tetapi juga telah bergerak. Jadi, kita harapkan peratusan tertentu akan bersama dengan calon Kerajaan Perpaduan dan kita yakin kemenangan berpihak tidak kepada mereka. Ini bukan main soal perkauman,” katanya.
Dalam pada itu, UMNO menafikan partinya tidak lagi mempunyai pengundi ‘putih’ untuk menyumbang undi kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK KKB esok.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Rosni Sohar berkata, UMNO bahagian itu masih mempunyai 4,517 ahli yang sudah pun didekati oleh jentera wanita untuk meraih sokongan mereka.
Menurutnya, menerusi kajian sikap terhadap ahli-ahli, sebanyak 98 peratus daripadanya sudah didekati dan memberikan reaksi positif dan mampu melepasi sasaran sumbangan sekurang-kurangnya 1,800 undi kepada calon, Pang Sock Tao.
“Siapa kata UMNO sudah tak ada pengundi? Alhamdulillah petang tadi (kelmarin) dalam mesyuarat kita sudah nampak gerakan bagaimana kelabu dan hitam bertukar menjadi putih. Tetapi majoritinya kelabu ke putih. Ada yang masih kelabu tetapi kita yakin dengan terus mendekati mereka.
“Kalau kita touch mereka di rumah-rumah, kita insya Allah akan dapat. Culaan akan diteruskan sehingga hari terakhir kempen dan saya yakin gelombang merah biru wanita ni memang sudah merata,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










