Tolak kerjasama jenama Zionis; Ada yang pernah cakap saya ‘gila’ - Yuna - Utusan Malaysia

Tolak kerjasama jenama Zionis; Ada yang pernah cakap saya ‘gila’ – Yuna

YUNA masih mencari tarikh yang sesuai untuk kembali dengan konsert di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Yuna, mendedahkan, ketika dia menolak untuk bekerjasama dengan sebarang jenama berkaitan Israel, ramai kalangan kenalan artis tempatan termasuk di Los Angeles menganggap ia satu tindakan yang mustahil.

Bahkan, kata Yuna, dia juga pernah disindir kerana kerap berkongsi mengenai apa yang berlaku di Palestin termasuk ada yang enggan melayannya ketika sedang berbual.

“Ketika saya maklumkan kepada kenalan artis di Kuala Lumpur dan Los Angeles atau di mana-mana sahaja yang saya mahu berhenti bekerjasama dengan jenama pro-Zionis sekitar November 2023, ramai kata saya gila.

“Mereka anggap ia tak akan membawa manfaat buat saya. Bila saya cakap mengenai paparan-paparan imej menyayat hati tentang Palestin, sesetengahnya bahkan menukar topik perbualan.

“Sesetengahnya juga bahkan muat naik gambar gincu (jenama pro-Zionis) dan sebagainya. Saya harap anda baik-baik sahaja,”katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

Selain itu, jelas Yuna, dia juga pernah menulis mengenai perkara ini dan memuat naik di platform Yunationals sebelum ini bagi memberi kesedaran kepada semua pihak.

Katanya, meskipun mustahil mampu memuaskan hati semua pihak, sekurang-kurangnya sebagai artis dia percaya tidak salah mencuba bagi memberi kesedaran.

“Sebagai artis saya tahu diri tidak sempurna. Kita semua tidak sempurna tetapi tidak salah mencuba. Jadilah berani dan dapatkan sokongan.

“Anda fikir tidak ada orang yang hilang pekerjaaan, tajaan, biasiswa, maklumat diri didedahkan, dikecam kerana bersuara mengenai isu genosid?

“Ada orang ambil gambar saya hanya memakai rantai kecil semata-mata mahu mengugut saya. Tetapi anak-anak di Gaza mati setiap hati dan sesetengah jenama ini bahkan sanggup melabur dalam teknologi peperangan.

“Ingatlah, kita adalah manusia yang ada jiwa dan bukannya ‘benda’,” katanya.

Luahan Yuna tersebut turut mendapat respons pelbagai daripada pengikutnya di Instagram dengan rata-ratanya menyokong tindakan penyanyi itu.

Ketika ini, Kempen Blockout 2024 dijalankan di media sosial di mana gerakan ini aktif memberikan kesedaran untuk boikot artis atau pempengaruh yang tidak bersuara langsung tentang isu kemanusiaan di Gaza.

Tindakan unfollow dan block di media sosial difahamkan untuk memberi kesan terhadap selebriti-selebriti yang bekerjasama dengan produk-produk yang mempromosikan atau menyumbang kepada rejim zionis dari segi keuntungan dan penjualan.

Kempen itu bukan sahaja melibatkan boikot di kalangan artis Hollywood seperti Taylor Swift, Billie Eilish dan Harry Styles, tetapi merebak sehingga ke industri hiburan Malaysia di mana selebriti-selebriti yang berdiam diri tentang Palestin atau bekerjasama dengan produk yang didakwa memberi sumbangan terhadap Israel diboikot dan disekat oleh peminat di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya