SUNGAI PETANI: Tiga anggota penguatkuasa daripada dua agensi berbeza direman empat hari untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM36,000 bagi melindungi kegiatan rumah urut di negeri ini.
Suspek berumur antara 30-an hingga 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani, malam tadi.
Perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek yang bermula hari ini hingga Ahad depan dikeluarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani.
Menurut sumber, mereka dipercayai menerima habuan secara bulanan yang mencecah RM6,000 sejak Januari lalu bagi melindungi pekerja rumah urut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Siasatan dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. -UTUSAN










