KLANG: Cubaan seleweng diesel menerusi lori di sebuah stesen minyak di Jalan Batu Belah di sini, gagal apabila tangki yang digunakan untuk mengisi minyak itu bocor hingga melimpah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya yang melakukan rondaan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, kira-kira pukul 6.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lori jenis Isuzu itu mengalami kebocoran diesel dipercayai daripada salah satu tong yang dimuatkan dalam kenderaan tersebut.
“Semakan kemudian mendapati lelaki tempatan berusia 45 tahun yang memandu lori itu tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL). Lelaki berkenaan disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan diesel,” katanya, semalam.
Tambah Vijaya, pemandu itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi siasatan lanjut. – UTUSAN










