Tandas awam di Plaza Tol Bertam, Bukit Tambun ditutup berperingkat sehingga Ogos

Tandas awam di Plaza Tol Bertam, Bukit Tambun ditutup berperingkat sehingga Ogos

TANDAS awam di Plaza Tol Bertam antara yang akan ditutup sehingga selewat-lewatnya 10 Ogos ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan kemudahan itu untuk keselesaan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya ketika ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup tandas-tandas awam di Plaza Tol Bertam dan Plaza Tol Bukit Tambun di kedua-dua arah untuk kerja-kerja penambahbaikan.

Jurucakap PLUS berkata, penutupan tersebut akan dibuat secara berperingkat iaitu bermula semalam hingga 10 Ogos depan.

Katanya, Plaza Tol Bertam arah selatan di Kilometer (KM) 120.00 iaitu laluan keluar melibatkan penutupan sehingga 10 Ogos manakala Plaza Tol Bukit Tambun arah utara di KM151.00 pula akan ditutup sehingga 11 Julai.

“Pengguna yang melalui kedua-dua plaza tol ketika ini bagaimanapun boleh menggunakan kemudahan tandas alternatif di hentian sebelah Plaza Tol Juru arah utara dan stesen minyak terdekat,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap itu memberitahu, satu lagi kemudahan tandas yang akan ditutup di kawasan plaza tol ialah di Plaza Tol Bukit Tambun Selatan (arah selatan) yang juga terletak di KM151.000 yang akan ditutup sehingga 11 Julai.

“Bagi pengguna yang melalui plaza tol berkenaan, kemudahan tandas alternatif yang boleh diperoleh ialah di Hentian Sebelah Sungai Bakap arah selatan dan stesen minyak yang terdekat,” ujar beliau.

Tambahnya, sepanjang penutupan kemudahan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tandas awam yang disediakan di mana-mana kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian-hentian sebelah atau stesen-stesen minyak yang berdekatan sebagai alternatif.

“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan agar merancang perjalanan atau mendapatkan maklumat trafik dengan menggunakan Aplikasi PLUS atau menerusi Chatbot PUTRI.

“Selain itu, pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN