SHAH ALAM (dikemas kini): Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong tindakan pasukan bola sepak Selangor FC yang menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan perbukaan Piala Sumbangsih, yang sepatutnya berlangsung esok.
Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini berkata, baginda memberi perkenan dengan keputusan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam berdasarkan situasi yang dihadapi ahli serta pemain di bawah naungan persatuan itu.
“Selaku penaung Selangor FC, baginda berpandangan susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 202.
“Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan,” katanya.
Semalam, FAS membuat keputusan Selangor FC menarik diri daripada menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan merebut piala tersebut selepas mengambil pertimbangan insiden jenayah serta ancaman yang berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan bola sepaknya.
Alasan itu dianggap kukuh apabila tonggak pasukan Selangor FC, Faisal Halim mengalami kelecuhan tahap empat di bahagian kiri anggota badannya akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali dekat sebuah pusat beli-belah di Damansara, Ahad lalu.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.
Susulan tindakan yang dibuat, baginda menegaskan Selangor FC bersedia dengan apa jua tindakan, susulan keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut.
“Titah baginda, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan masih lagi terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan Faisal juga harus diambil kira.
“Baginda mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan,” jelasnya. – UTUSAN










