JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya melumpuhkan sindiket penipuan secara dalam talian selepas menggempur sebuah pusat panggilan yang didalangi warga asing di Iskandar Puteri, di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua enam suspek yang berusia 24 hingga 36 tahun itu ditahan selepas pihaknya menyerbu sebuah unit kediaman di bandar raya ini pada pukul 5.30 petang.
Menurut beliau, suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan itu dipercayai telah menjalankan aktiviti jenayah itu sejak sebulan lalu.
“Turut dirampas dalam serbuan itu adalah peralatan yang digunakan sindiket bagi menjalankan aktiviti pelaburan dan perjudian palsu seperti komputer riba, telefon bimbit dan lain-lain.
“Semasa serbuan dijalankan, kesemua suspek sedang leka melayan ‘pelanggan’ masing-masing secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan juga Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Tambah Kumar, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, dengan sebat dan boleh juga didenda.
“Polis Johor turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat.
“Mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa penipuan boleh berhubung dengan National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun,” jelasnya. –UTUSAN










