KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak `menyimpan’ sejumlah wang yang dikatakan derma Arab sebagai pelan luar jangka sekiranya timbul keperluan bagi menghalang wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dibeli pembangkang seperti yang berlaku pada 16 September 2008.
Bagaimanapun, wang tersebut telah dipulangkan sekitar hujung 2013 tetapi tidak secara terus kepada Kerajaan Arab Saudi, sebaliknya menerusi syarikat Tanore Finance Corp. yang didakwa dimiliki oleh kerajaan Timur Tengah itu.
“Saya terpaksa bersedia dari segi kewangan walaupun saya tidak bersetuju dengan amalan ini kerana takut-takut pihak pembangkang mencuba sekali lagi. Namun, apabila tiada sebarang gerakan berlaku, saya rasa perlu dipulangkan semula kepada pihak yang memasukkan dana tersebut ke akaun saya iaitu pihak yang dilantik oleh Arab Saudi, Tanore Finance Corp,” kata Najib.
Menurut keterangan saksi sebelum ini, Tanore Finance adalah syarikat yang dikawal oleh sekutu Jho Low bernama Eric Tan Kim Loong.
Kenyataan itu dibuat oleh Najib ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 2018 dan dibacakan semula ialah Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Nur Aida membaca semula penyataan tersebut bagi menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika pemeriksaan semula hari ini.
Pada 16 September 2008, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang ketika itu) mendakwa lebih 31 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) kononnya akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) sekaligus menjadikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terbubar.
Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Ahmad Akram: Sebahagian daripada pembelaan Najib bahawa beliau telah menerima derma Arab. Derma tersebut didakwa tidak digunakannya sebaliknya disimpan sebagai pelan kontengensi sekiranya terdapat kejadian luar jangka seperti 16 September (2008). Jadi, dana tersebut digunakan untuk kepentingan politiknya?
Nur Aida: Ya.
Ahmad Akram: Kamu telah ditunjukkan oleh pembelaan kenyataan yang diberikan oleh Najib (kepada SPRM). Ada atau tidak bahagian yang penting bagi sisasatan kamu tetapi tidak ditunjukkan oleh pembelaan (ketika soal balas)?
Nur Aida: Ada.
Selain itu, Nur Aida menyatakan sehingga hari ini, Najib tidak pernah sebarang laporan kepada mana-mana pihak mengenai dakwaan tanda tangannya telah dipalsukan.
Pihak pembelaan sebelum ini sering membangkitkan isu bahawa tanda tangan dalam dokumen-dokumen kelulusan pinjaman oleh 1MDB adalah berbeza seperti `disalin dan tampal’.
Nur Aida sebelum tamat memberi keterangannya sebagai saksi pendakwan ke-49 memberitahu individu yang mendapat manfaat daripada penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB ialah Najib.
Perbicaraan bersambung petang ini dengan soal balas terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. – UTUSAN










