Saham MAHB tidak dibeli syarikat pro–Zionis

Saham MAHB tidak dibeli syarikat pro–Zionis

ANWAR Ibrahim memeriksa barisan kehormatan pasukan keselamatan sambil diiringi Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Akorda, Astana, Kazakhstan kelmarin. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan 25 pe­ratus baki saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) akan di­miliki syarikat pro-Zionis yang dibangkitkan pihak pembangkang hanya bertujuan untuk menanam rasa benci rakyat kepada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyelar pembangkang dengan menyifatkan mereka sebagai tidak pernah bersikap positif terha­dap usaha yang dilakukan kerajaan termasuk pertemuan beliau dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Beliau berkata, pembangkang hanya tahu menghasut, memfitnah, penuh dengan kebencian dan bersifat dengki.

“Ringgit dan bursa mengu­kuh hanya menyakitkan hati mereka,” katanya pada hari ter­akhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan, semalam.

Rabu lalu, media melapor­kan Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium ber­kenaan, pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat pelaburan ber­kaitan kerajaan iaitu Khaza­nah melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemegang saham konsortium itu juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Mengenai lawatannya, Anwar berkata, Malaysia dan Kazakhstan sepakat untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang terjalin sejak 16 Mac 1992 dan bersama meneroka peluang kerjasama baharu.

Beliau berkata, kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokeyv di Is­tana Presiden (Ak Orda) yang disusuli dengan mesyuarat dua hala.

Katanya, mesyuarat tersebut membincangkan dengan lebih luas berkenaan kerjasama negara melibatkan pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan dan industri halal.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, semalam, Anwar menggesa pihak polis segera mencari dalangnya dan hadapkan ke muka pengadilan.

“Insiden ini ternyata memilukan dan menggemparkan negara. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Saya juga mendoakan anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera,” ujar beliau dalam twitternya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×